PTPTN komited perbaiki perkhidmatan, tangani isu pembiaya

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menambah baik mutu perkhidmatan, termasuk perkhidmatan secara online, dan memberi tindak balas kepada isu yang berlaku selaras dengan teguran yang diberikan oleh semua pihak terhadap badan itu.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya akan memastikan bahawa apa jua isu yang dihadapi akan ditangani dengan baik kerana PTPTN mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam mencapai sasaran.

Beliau berkata yang penting penerima pembiayaan PTPTN perlu sentiasa berhubungan dengan pihaknya agar segala isu berbangkit boleh dirunding dan diselesaikan.

“PTPTN mempunyai matlamat untuk mencapai jumlah kutipan balik serta memastikan bahawa dalam kita mengejar sasaran, pada masa yang sama servis kita kepada pelajar dan rakyat juga mesti diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam.

Baru-baru ini Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh memberi amaran agar PTPTN tidak menganiaya peminjam dalam usaha mengutip semula hutang pinjaman namun tindakan perlu diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman pembiayaan.

– Bernama